advertlets.com

Tuesday, October 26, 2010

Pengenalan: Jabatan Perdagangan


Jabatan Perdagangan (JP) merupakan jabatan akademik induk yang menawarkan program-program perniagaan dan pengurusan. Memulakan operasi pada Julai 2005, antara program yang ditawarkan adalah seperti Sijil Pengajian Perniagaan (SPP), Diploma Pengajian Perniagaan (Pengurusan) serta Diploma Sains Kesetiausahaan (DSK).

Diploma Pengajian Perniagaan (Pengurusan) - DPM

Program tiga tahun pengajian perniagaan dibentuk bagi menyediakan pelajar dengan pengetahuan perdagangan yang komprehensif. Tumpuan utama diberi kepada pelbagai bidang pengajian perniagaan seperti pemasaran, perakaunan, statistik, ekonomi, pengurusan perniagaan, undang-undang syarikat, percukaian dan matematik pengurusan. Kepelbagaian mata pelajaran yang dicakupi dalam program ini dibentuk untuk membolehkan pelajar yang mempunyai kecenderungan keusahawanan menceburi dalam perniagaan mereka sendiri. Pelajar diwajibkan menjalani latihan industri selama 6 bulan di semester empat bagi membolehkan mereka memperolehi pengalaman pekerjaan dan kefahaman tentang dunia perniagaan yang sebenar. Bagi pelajar yang berhasrat untuk bekerja dengan organisasi perniagaan, program ini membantu mereka agar dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai persekitaran perniagaan.

Prospek Kerjaya
Lulusan berpeluang menjawat jawatan seperti Pegawai Tadbir, Pegawai Kewangan dan juga sebarang jawatan di dalam bidang pengurusan yang bersesuaian.

Sijil Pengajian Perniagaan - SPP
Program Sijil Pengajian Perniagaan ditawarkan dengan objektif untuk melatih personel yang mempunyai kecekapan asas yang diperlukan di sektor perdagangan. Kursus ini dibentuk bertujuan untuk melengkapkan pelajar dengan pengetahuan asas perniagaan dan juga aspek-aspek persekitaran perdagangan dan organisasi. Semua pelajar diwajibkan menjalani latihan industri sebagai suatu kemahiran praktikal bagi memperolehi pengalaman kerja dalam persekitaran dan perakaunan.

Prospek Kerjaya

Program ini diharapkan dapat melahirkan lulusan yang berketrampilan, proaktif dan dapat memikul tugas-tugas samada sebagai seorang Pembantu Akauntan, Pambantu Tadbir, Kerani Akaun, Eksekutif Jualan dan Usahawan yang berkesan, cekap dan berkhemah tinggi.

 Diploma Sains Kesetiausahaan - DSK


Matlamat kursus ini adalah untuk melahirkan setiausaha yang profesional, cekap, efisien dan berketrampilan. Pelajar dilatih dalam pengurusan pejabat, struktur perdagangan, terjemahan Bahasa Melayu dan Inggeris, komputer, pembentukan personaliti, penyediaan, speed typing, trengkas, shorthand dan menaip. Pelajar menjalani latihan amali dan latihan di industri. Di samping layak untuk memegang jawatan Setiausaha, pelajar yang telah tamat pengajian boleh mengisi jawatan pembantu tadbir, pembantu peribadi dan lain-lain bidang yang berkaitan. 

Monday, October 25, 2010


Politeknik Mukah Sarawak (PMU) terletak di Mukah yang merupakan wilayah tengah Sarawak. Merupakan politeknik yang ke-20 di Malaysia, PMU adalah politeknik ketiga di Borneo selepas Politeknik Kuching Sarawak dan Politeknik Kota Kinabalu. Kampus PMU dibina di atas tapak seluas 100 ekar dan dilengkapi dengan infrastruktur moden serta kemudahan pendidikan yang terkini.
Operasi pertama PMU bermula di Sekolah Menengah Teknik Sibu pada tahun 2004. Pengambilan pelajar pertama adalah pada sesi Julai 2005 dengan kursus perintis seperti Sijil Teknologi Maklumat, Sijil Kejuruteraan Awam dan Sijil Pengajian Perniagaan. Penawaran kursus bertambah setahun kemudian di mana kursus peringkat Diploma turut ditawarkan oleh kesemua lima jabatan akademik utama. Lima jabatan akademik utama tersebut adalah;
  • Jabatan Teknologi Maklumat & Komunikasi (JTMK)
  • Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA)
  • Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE)
  • Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM)
  • Jabatan Perdagangan (JP)
Penawaran modul/subjek umum, Sains dan Matematik pula ditawarkan oleh Jabatan Pengajian Am (JPA) dan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK).
Selain kursus-kursus sepenuh masa, PMU turut menawarkan kursus jangka pendek yang dibuka kepada orang awam dan masyarakat setempat di bawah program Penswastaan Sektor Masa (Time Sector Privatisation - TSP). Program ini menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan komuniti setempat. Melalui program sebegini, adalah diharapkan penubuhan PMU di Mukah dapat membantu komuniti setempat meningkatkan pengetahuan, kemahiran, kompetensi atau mendapatkan pengetahuan/kemahiran baharu.